Menu

As Salam

BMM

Jumaat, 23 September 2011

Realiti TV Wanita : Pro dan Kontra



Setelah kejayaan rancangan program Imam Muda, kini Astro cuba menampilkan satu rancangan pencarian Ustazah Pilihan. Pelbagai pandangan dan persoalan telah dikemukakan ke atas pihak Astro sendiri mengenai rancangan tersebut. Ada beberapa pandangan yang dikemukan melalui laman sosial facebook Ustazah Pilihan, ada pihak yang menyokong malah bukan sedikit pihak yang tidak bersetuju dengan program tersebut. Ada pihak yang telah mewujudkan satu profil facebook ‘HARAMKAN USTAZAH PILIHAN’. Jumlah individu yang ‘Like’ pada profil tersebut adalah 3 kali ganda lebih ramai berbanding profil Ustazah Pilihan sendiri, jumlah individu yang ‘Like’ pada profil ‘KAMI MENYOKONG USTAZAH PILIHAN’ pula adalah tujuh kali lebih kecil.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, program Ustazah Pilihan dibuat mengikut syariah. Ujian yang bakal peserta hadapi juga tidak akan melanggar batas-batas seorang wanita muslim. Boleh rujuk pada link ini, berita Kosmo bertarikh 22 September 2011.
Tidak dinafikan bahawa rancangan Imam Muda berjaya mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa serta perhatian dunia. Namun persoalannya, perlukah disiarkan rancangan Ustazah Pilihan sekalipun hasrat pihak ASTRO adalah untuk mencetuskan fenomena terbaru dalam dunia penyiaran yang bertujuan mencari pelapis kepada pendakwah muda wanita? Penulis berpendapat, kita boleh mencari mana-mana wanita yang berminat dalam dunia dakwah, cuma kurang tepat dan tidak manis bahkan boleh mengundang fitnah sekiranya wajah dan susuk tubuh ustazah menjadi medan ‘contengan’ bahan-bahan solekan serta ‘busana muslimah’ moden yang mengangkat budaya tabarruj! Paling tidak manis adalah aksi calon-calon yang agak emosi seperti menangis dan sedih kerana kurang berjaya pada peringkat ujibakat. Ini sangat berbeza dengan calon-calon Imam Muda, calon-calon Imam Muda adalah para pemuda maka penonton tidak diheret dengan situasi kurang selesa apabila menonton. Penonton juga tidak rasa terganggu dengan lantunan dan alunan ayat Al Quran sekiranya dibaca oleh seorang pemuda. Penonton akan dihembus rasa keagungan Tuhan apabila ayat Al Quran dibaca oleh para pemuda. Bagaimana pula jika penonton mendengar alunan ayat Al Quran oleh golongan wanita yang merdu dan mendayu-dayu suaranya? Tepuk dada tanya iman.

Penulis merasa kurang selesa melihat calon-calon yang teremosi. Penulis kurang bersetuju bahawa ada di antara calon menjelaskan makna tabarruj dengan penjelasan yang tidak tepat atau mungkin calon tersebut kurang memahami makna tabarruj itu sendiri. Penulis bukanlah individu yang selayaknya memberi makna paling tepat, namun dalam rujukan dan pelajaran penulis, melalui ceramah-ceramah para alim ulama selama ini, tabarruj adalah suatu wabak yang membarah di kalangan wanita dari dulu hingga kini.  

Apakah tabaruj? Asal makna tabarruj adalah dari perkataan Arab iaitu burj. Burj adalah tempat yang tinggi. Sebab itu Dubai menamakan pencakar langitnya sebagai Al Buruj. Tabarruj dalam erti kata adalah mendedahkan atau mempertontonkan atau menampakkan baik itu keindahan atau kecantikan zahir mahupun pakaian. Bererti wanita menunjukkan dan memperagakan perhiasan dan kecantikannya untuk menarik perhatian kaum lelaki (yang dapat merangsang keinginan syahwat mereka). Sedangkan wanita hanya boleh bersolek di hadapan suami dan untuk suami, dan dilakukan demi Allah. Tabarruj dapat pula berarti wanita yang memakai perhiasan atau bersolek secara berlebihan. ALLAH Taala menganjurkan bersolek, tetapi bersolek yang mendapat pahala adalah solekan untuk suami. Sedangkan yang dimaksud tabarruj adalah bersolek kemudian didedahkan di luar rumah. Termasuk dalam istilah tabarruj ialah fesyen-fesyen pakaian. Ini kerana pada dasarnya pakaian wanita sama dengan pakaian lelaki iaitu menutup aurat. Pakaian muslimah itu bukan dimaksudkan untuk didedahkan kepada sesiapa saja dimuka ramai. 
Sabda Nabi SAW, “Bahawa anak perempuan apabila telah cukup umur (baligh) maka mereka tidak oleh dilihat akan dia melainkan muka dan kedua tapak tangan hingga pergelangan tangan” (Hadis riwayat Abu Daud). Dalam hadis lain Nabi bersabda kepada Asma’ “ Hai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah baligh (cukup umur) tidak boeh dilihat daripadanya, kecuali ini dan ini (sambil Rasulullah menunjukkan muka dan kedua belah tapak tangannya” (Riwayat Abu Dawud, Baihaqqi dan Thabarani). Apa yang penting dalam hadis tersebut ialah agar tidak dilihat akan diri wanita itu oleh orang lain kecuali mahramnya. Tabarruj jahiliyyah bererti wanita membuka niqabnya (penutup muka) hingga mendedahkan muka, kecantikan dan perhiasannya. Tetapi niqab atau purdah ini adalah wajib bagi wanita pengikut Mazhab Hanafi dan Hanbali, sedangkan dalam Mazhab Syafii dan Maliki termasuk yang ringan dalam perkara aurat, ulamanya masih mengganggap wajah bukan termasuk aurat, sehingga boleh jika tidak memakai niqab.

Dalam facebook Ustazah Pilihan, ada individu yang memberi komentar yang agak menyedihkan terhadap calon yang memakai niqab/purdah dengan mengatakan bahawa calon pemakai niqab tersebut mencemar maruah Islam. Apakah beza martabat wanita Mukminah dengan wanita jahiliyah? Adakah wanita yang tidak menutup aurat mengharumkan nama Islam? Wanita yang berjalan di tempat awam memakai skirt pendek serta baju pendek atas pusat lebih mengharumkan nama Islam? Umum wajar mengetahui bahawa semakin labuh tudung seseorang wanita maka semakin tinggi rasa malunya, semakin pendek tudung seseorang wanita, dan semakin tinggi sanggul tudungnya maka semakin kurang rasa malunya. Kita semua percaya bahawa sifat malu yang perlu ada bagi setiap wanita menghilang sedikit demi sedikit. Dan sifat malu itu jugalah yang hilang dari umat Islam baik lelaki mahupun wanita. Sebagai contoh seorang wanita ketawa terbahak-bahak di tempat awam atau di hadapan lelaki dan contoh yang lain seorang lelaki tidak rasa malu makan di tempat awam ketika bulan Ramadhan.

Menurut ASTRO, “Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan peluang yang setara kepada kaum wanita untuk mengembangkan bakat mereka dalam aktiviti dakwah dengan pendedahan yang lebih kontemporari. Pembaharuan dakwah yang bersesuaian dengan situasi semasa tetapi masih berpaksikan hukum syara’ semestinya menjadi suatu kelainan yang akan menarik perhatian oleh masyarakat”. Penulis mengucapkan tahniah dan syabas kepada ASTRO Oasis kerana berusaha memberikan yang terbaik kepada penonton yang menggemari rancangan berunsurkan Islam. Penulis juga meminati salah satu rancangan dalam ASTRO Oasis iaitu ‘Indahnya Iman’ yang merupakan alunan zikir-zikir pilihan. Hati merasa tenang apabila mendengarkannya. Cuma, penulis berpendapat mencari seorang ustazah yang ada potensi dakwah tidak hanya mengiklankan sesi ujibakat, malah ASTRO Oasis boleh mengaplikasikan metod terbaru dalam pencarian individu berilmu dan berpotensi dalam bidang pendidikan. Pencarian individu ini tidak sama dengan pencarian artis maka ia wajar memiliki kelainan. Kajian atau research terhadap individu cemerlang wajar dilakukan ke atas Universiti, Kolej, Sekolah, Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan bagi mencari duta dalam masyarakat yang pada umumnya tidak dikenali dalam dunia penyiaran yang mampu memberi sumbangan terhadap Islam. Kajian mungkin akan mengambil masa yang panjang, dan kos yang tidak sedikit namun untuk mendapatkan mutiara bukanlah senang, kita harus berenang ke dasar laut dan meredah lautan ombak bagi mendapatkannya. 
Suatu hal yang lebih penting dalam peribadi seorang ilmuwanita Islam ialah menutup aurat, berpakaian sederhana, tidak bersolek sesuai dengan akhlak dan budi pekerti wanita Mukminah. Peribadi wanita Mukminah bukan dinilai dari sudut fesyen dan gaya tetapi dinilai melalui kekayaan ilmu dan nilai akhlak yang tinggi. Ini berbeza dengan calon-calon pemuda dengan program yang sebanding dengannya, seorang lelaki harus berpakaian kemas, berwangi-wangian, segak, bergaya, seiring dengan akhlak seorang Mukmin bagi menunjukkan bahawa Islam itu indah. Islam juga dihormati, disegani malah dipandang tinggi dengan ciri-ciri penampilan wanita Mukminah yang disebutkan di atas.
Umum wajar mengetahui bahawa cara yang dianjurkan dalam mendidik adalah pendidikan yang berterusan dan panjang. Ia tiada tempoh tamat. Matlamat rancangan ini adalah ‘Didik Wanita’ Terdidik Generasi’. Memang benarlah kenyataan itu, jika semua wanita terdidik maka umat Islam akan cemerlang akhlaknya. Persoalannya adakah pihak Astro akan mengekalkan calon-calon pilihan mereka baik Imam Muda mahupun Ustazah pilihan dalam pentarbiyahan? Apakah peranan juri yang berlatarbelakangkan dunia hiburan dalam sesi ujibakat? Bagaimana mungkin Mudirah dan para Mursyidah disolekkan dengan solekan yang menyerlah? Adakah syariat Islam menghalalkannya untuk tatapan umum? Tepuk dada, tanya iman. 
Akhir sekali penulis berpendapat bahawa ‘Ustazah Pilihan’ lebih sesuai dengan nama ‘Muslimah Sejati’ yang seakan-akan ‘Gadis Melayu’. Perbezaannya adalah Muslimah Sejati berunsurkan Islam sedangkan Gadis Melayu hanya mencari nilai-nilai keMelayuan. Namun, penulis bukanlah individu yang selayaknya menentukan nama-nama rancangan televisyen, sekadar mencadangkan dan sudah tentu ada yang kurang bersetuju. Penulis menganggap itu adalah lumrah dan fitrah kita sebagai manusia. Yang baik itu lebih utama kita sampaikan kerana ia adalah dari Allah, yang tidak baik itu wajar dijadikan sempadan untuk masa depan agar kita lebih berwaspada dalam kehidupan. Penulis sedaya upaya menyampaikan sekadar ilmu yang penulis ketahui. Ya Allah! Saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Norish Li